Followers

Thursday 7 April 2011

Seni Visual STPM 2011 Kertas 3 (Projek Penghasilan Karya)

MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA

(MALAYSIAN EXAMINATIONS COUNCIL)

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA

(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)


Arahan kepada calon:

Arahan Kerja Kursus dan Soalan Kerja Kursus Seni Visual.

Anda dikehendaki membaca arahan yang diberikan dengan teliti sebelum memulakan projek
penghasilan karya anda.

Ada empat pilihan soalan kerja kursus yang dikemukakan. Anda dikehendaki memilih satu
soalan sahaja.


ARAHAN KERJA KURSUS
Arahan Penyediaan Projek Penghasilan Karya
Penyediaan Portfolio dan Hasil Karya

Kerja kursus ini memerlukan calon membuat portfolio dan hasil karya seperti yang berikut:

1.1 Portfolio (wajaran 50%)
(a) Satu portfolio sahaja yang perlu disediakan.
(b) Saiz portfolio ialah 28 cm × 38 cm daripada jenis kertas lukisan (kertas kartrij).
(c) Portfolio hendaklah mengandungi dokumentasi bertulis dan bergambar tentang
keseluruhan proses pengkaryaan atau perekaan.
(d) Portfolio hendaklah mengandungi perihalan, ilustrasi, dan lakaran, gambar, dan
rujukan seperti yang dikehendaki oleh soalan kerja kursus yang berkenaan.
(e) Kandungan portfolio hendaklah ditaip dengan menggunakan komputer. Jenis fon
untuk teks ialah Times New Roman dengan saiz 12 poin.
(f) Tulisan kreatif yang sesuai boleh digunakan untuk kapsyen atau penerangan
ringkas dalam portfolio.
(g) Gambar langkah-langkah semasa proses penghasilan karya hendaklah disertakan
pada bahagian akhir portfolio.
(h) Pada muka depan kulit portfolio, butiran nama mata pelajaran, kod kertas,
nombor pusat, angka giliran, nombor kad pengenalan, dan nombor
soalan kerja kursus hendaklah ditaip dengan menggunakan komputer.
(lihat Lampiran A).
(i) Kulit portfolio mestilah kemas dan ringkas serta tidak perlu dihiasi atau
ditampal dengan bahan asing (kolaj).
(j) Portfolio hendaklah dijilid secara comb binding.
1.2 Hasil karya (wajaran 50%)
(a) Hasil karya hendaklah dibuat dalam bentuk dua dimensi (2D) atau tiga dimensi
(3D) mengikut spesifikasi  yang ditetapkan bagi setiap soalan kerja kursus.

(b) Bahan berbahaya seperti kaca, besi atau dawai yang tajam, bahan beracun (toksik),
bahan cecair, dan bahan mudah pecah tidak boleh digunakan untuk menghasilkan
karya.
(c) Unsur sensitif yang menyentuh aspek budaya, kaum, jantina, agama, dan politik
tidak dibenarkan sama sekali digunakan dalam hasil karya.
(d) Hasil karya hendaklah dilabel dengan butiran nama mata pelajaran, kod kertas,
nombor pusat, angka giliran, nombor kad pengenalan, dan nombor soalan
kerja kursus (lihat Lampiran A).
Peraturan dalam Penghasilan Karya

2.1 Kerja kursus hendaklah dijalankan secara individu dengan bimbingan dan penyeliaan
oleh guru Seni Visual.
2.2 Dalam proses penyediaan portfolio dan penghasilan karya, calon tidak dibenarkan
sama sekali mendapatkan bantuan amali daripada orang lain.
2.3 Calon hendaklah menghasilkan karya mengikut kreativiti sendiri. Walau bagaimanapun, saiz hasilkarya
mestilah mengikut spesifikasi yang ditentukan bagi soalan kerja kursus yang dipilih.
2.4 Sekiranya terdapat bukti bahawa portfolio dan/atau hasil karya yang dihantar itu bukan
hasil kerja calon yang sebenar
, keputusan peperiksaan calon bagi mata pelajaran Seni Visual akan dibatalkan.



SOALAN KERJA KURSUS

Calon hendaklah memilih satu daripada empat soalan yang berikut:

PENGKARYAAN

Hasilkan sebuah karya seni visual yang bertemakan “Keharmonian”. Hasil karya anda
hendaklah menggunakan teknik hard edges dengan menggabungkan rupa huruf dan rupa geometri.
Persembahan karya hendaklah dalam bentuk dua dimensi (2D) atau tiga dimensi (3D). Bagi yang
memilih bentuk tiga dimensi (3D), teknik luakan boleh digunakan.

Hasil karya dua dimensi (2D) hendaklah berukuran tidak melebihi 40 cm × 60 cm. Hasil karya
tiga dimensi (3D) pula hendaklah berukuran tidak melebihi 40 cm tinggi, 25 cm panjang, dan 25 cm lebar.

Portfolio karya seni hendaklah mengandungi

• kajian dan penyelidikan berdasarkan tema
• lakaran perkembangan idea
• lakaran akhir
• kajian media dan teknik
• pengolahan aspek-aspek komposisi dalam gubahan karya
• rujukan dan sumber maklumat
Nota: Semua proses yang dijalankan untuk menghasilkan karya perlu didokumentasikan mengikut urutan.

Hasil karya hendaklah diberi penekanan dari aspek

• ketepatan tema dan makna
• penerokaan media dan teknik
• pengolahan aspek komposisi
• keaslian
• kemasan
Nota: Karya hendaklah dihasilkan secara manual.


PENGKARYAAN

Hasilkan sebuah karya seni visual yang bertemakan “Kasih Ibu”. Hasil karya anda hendaklah
menggunakan bahan yang sesuai dengan tema. Persembahan karya hendaklah dalam bentuk relif
atau tiga dimensi (3D).

Hasil karya relif hendaklah berukuran tidak melebihi 40 cm ×
60 cm. Hasil karya tiga dimensi (3D) pula hendaklah berukuran tidak melebihi 40 cm tinggi, 25 cm panjang, dan 25 cm lebar.

Portfolio karya seni hendaklah mengandungi

• kajian dan penyelidikan berdasarkan tema
•lakaran perkembangan idea
•lakaran akhir
•kajian media dan teknik
•pengolahan aspek-aspek komposisi dalam gubahan karya
•rujukan dan sumber maklumat
Nota: Semua proses yang dijalankan untuk menghasilkan karya perlu didokumentasikan mengikut urutan.

Hasil karya hendaklah diberi penekanan dari aspek

•ketepatan tema dan makna
•penerokaan media dan teknik
•pengolahan aspek komposisi
•pertimbangan estetik
•keaslian
•kemasan
Nota: Karya hendaklah dihasilkan secara manual.


PEREKAAN

Hasilkan sebuah reka bentuk pembungkusan pada produk kesihatan berasaskan herba tempatan
untuk golongan warga emas.

Reka bentuk tersebut melibatkan reka bentuk kotak yang kreatif, reka letak grafik pada kotak, dan reka letak grafik pada label botol plastik.

Saiz reka bentuk kotak anda hendaklah yang boleh memuatkan sebiji botol plastik untuk
500 mililiter (ml) isi padu cecair.

Portfolio perekaan hendaklah mengandungi

• permasalahan reka bentuk (design brief)
• kajian produk dan pembungkusan
• lakaran kenit (thumbnail) dan pemilihan lakaran
• lakaran komprehensif
• kajian rekaletak,imej, dan tipografi
• senarai peralatan yang digunakan
• rujukan dan sumber maklumat
Nota: Semua proses yang dijalankan untuk menghasilkan karya perlu didokumentasikan mengikut urutan.

Hasil karya hendaklah mengandungi

(i) reka bentuk pembungkusan, dengan reka letak grafik dan reka bentuk label bercetak, yang dilekatkan pada mounting board, dan
(ii) mock-up satu pembungkusan yang mengandungi sebiji botol berlabel.

Hasil karya hendaklah diberi penekanan dari aspek

• ketepatan reka bentuk dan fungsi
• kemahiran penggunaan bahan dan teknik
• aplikasi bahasa seni visual
• keaslian
• kualiti persembahan
• kemasan
Nota: Reka bentuk pembungkusan boleh dihasilkan dengan menggunakan perisian komputer grafik. Namun demikian, perisian tersebut hanya boleh digunakan untuk menghasilkan karya akhir sahaja dan calon hendaklah menyatakan perisian yang digunakan. Penggunaan Clip Art dilarang sama sekali.


PEREKAAN

Hasilkan sebuah model reka bentuk ketuhar mikrogelombang (microwave oven) yang
mempunyai dwifungsi, iaitu untuk kegunaan harian dan hiasan.

Hasil rekaan hendaklah berukuran tidak melebihi 30 cm panjang, 30 cm lebar, dan 30 cm
tinggi. Calon hendaklah menggunakan bahan yang sesuai untuk membentuk model. Hasil rekaan
hendaklah dibina dengan kukuh dan kemas.

Portfolio perekaan hendaklah mengandungi

• permasalahan reka bentuk (design brief)
• kajian maklumat
• kajian ergonomik
• lakaran dan lukisan konsep
• lukisan bentangan berskala
• lukisan terperinci berskala
• lukisan pemasangan
• lukisan lepaan (rendering)
• senarai bahan dan komponen model
• rujukan dan sumber maklumat
Nota: Semua proses yang dijalankan untuk menghasilkan karya perlu didokumentasikan
mengikut urutan.


Hasil rekaan hendaklah diberi penekanan dari aspek

• ketepatan fungsi dan nilai estetik
• penggunaan bahan dan teknik untuk model
• menepati konsep ergonomik dan ruang
• keaslian dan inovasi
• kemasan

0 Comments:

Tekan ni pulak...

Powered By Blogger